6 sesat daki Gunung Ledang sejak Ahad ditemui selamat
Posted bypenghulu on Wednesday, May 21 @ 20:11:05 MYT
Contributed by penghulu
Sumber: Berita Harian OnlineMUAR: Enam remaja lelaki berusia antara 21 tahun dan 22 tahun yang
sesat ketika mendaki Gunung Ledang sejak Ahad, ditemui selamat di
kawasan berhampiran aliran sungai kira-kira 600 meter daripada kaki
gunung itu, semalam.
Semua mangsa termasuk tiga pelajar kolej yang berasal dari
Johor Bahru itu ditemui pasukan penyelamat kira-kira jam 9.45 pagi yang
berusaha mengesan mereka sejak petang Ahad, selepas menerima laporan
kehilangan mereka daripada ahli anggota keluarga yang dihubungi mangsa.
Poh Tan Chin, Tay Shen Loong, kedua-dua berusia 21 tahun dan empat
lagi rakan mereka yang berusia 22 tahun iaitu Bek Tat Chung, Lee Ming
Ru, Chan Yek Lih serta Heng Jui Keat, mendaki gunung itu sejak pagi
Ahad lalu, tetapi dilaporkan tersesat ketika cuba mencari jalan turun.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata kumpulan pendaki itu didapati tidak menggunakan
perkhidmatan jurupandu Perbadanan Taman Negara Johor atau Gunung Ledang
Resort, menyebabkan mereka tersesat.
Katanya, kira-kira 50 anggota pasukan penyelamat termasuk
polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3),
Perbadanan Taman Negara Johor serta Persatuan Radio Amatur Malaysia (Marts) Johor Selatan, membantu mengesan semua mangsa itu selepas
menerima maklumat mengenai kehilangan mereka.
"Mangsa mula mendaki sejak pagi Ahad dan sepatutnya turun
semula pagi Isnin, tetapi mereka sesat menyebabkan mereka menghubungi
anggota keluarganya yang kemudian membuat laporan kepada pihak berkuasa
mengenai kehilangan mangsa," katanya. Katanya, ketika ditemui oleh pasukan penyelamat, kumpulan pendaki itu
didapati tersasar daripada trek laluan pendakian biasa menyebabkan
mereka tidak menemui jalan keluar.
Mohamad Nasir turut menasihatkan orang ramai yang mahu
mendaki Gunung Ledang supaya mendapatkan perkhidmatan jurupandu
berdaftar dan memaklumkannya kepada Perbadanan Taman Negara Johor bagi
mengelak kejadian sesat.
Sementara itu, seorang daripada kumpulan pendaki berkenaan,
Poh ketika ditemui berkata, pada mulanya beliau bersama lima lagi
rakannya yang juga bekas rakan sekolah mengambil keputusan untuk
mendaki dan berkhemah di Gunung Ledang sempena cuti Hari Wesak dan
tidak menyangka mereka akan tersesat.
|
|
| |
 |
Login |
 |
|
|
Don't have an account yet? You can create one. As a registered user you have some advantages like theme manager, comments configuration and post comments with your name.
|
|
|
 |
|